Thursday 22 November 2012

Nabi Tidak Redha Umatnya di Neraka


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum sahabatku yang dikasihi sekalian,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan Pencipta seluruh alam dan moga tercurah selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w., seluruh keluarga Baginda, sahabat-sahabat Baginda, para tabiin dan yang mengikutinya hingga hari kiamat.

Ketika syurga dan neraka telah terkunci, dan semua umat manusia telah dimasukkan ke dalam syurga dan neraka, sesuai dengan amalannya dan mereka telah menikmati ganjaran atau merasakan hukuman atas apa yang mereka kerjakan dalam waktu yang begitu lama, Allah SWT menanyakan kepada Malaikat Jibril, subhanallah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, “Apakah ada umat Muhammad  s.a.w. yang masih tertinggal di dalam neraka?”

Maka Malaikat Jibril pun pergi ke neraka Jahanam. Neraka Jahanam yang begitu gelap tiba-tiba berubah menjadi terang benderang kerana kedatangan Jibril.

Para penghuni Jahanam pun bertanya-tanya, siapakah yang datang, mengapa Jahanam tiba-tiba terang benderang.

Malaikat Jibril pun menjawab bahawa dia adalah Malaikat Jibril, yang diutus oleh Allah SWT untuk mencari apakah ada umat Muhammad yang masih terselit di neraka Jahanam. Tiba-tiba sekelompok orang berteriak, “Sampaikan salam kami kepada Rasulullah s.a.w., beri tahukan keadaan kami di tempat ini kepada beliau.”

Jibril pun keluar dari neraka Jahanam dan pergi ke syurga untuk memberitahukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. begitu bersedih mendengar bahawa masih ada umatnya yang tertinggal di dalam neraka dalam waktu yang sudah begitu lama. Beliau tidak redha ada umatnya yang masih tertinggal di neraka walaupun dosanya sepenuh bumi.

Rasulullah s.a.w. pun bergegas hendak pergi ke neraka. Tapi di dalam perjalanan beliau terhadang oleh garis batas Malaikat Israfil. Tidak ada seorang pun boleh melintasi garis itu kalau tidak seizin Allah SWT.

Rasulullah s.a.w. pun mengadu kepada Allah SWT, dan akhirnya beliau diizinkan. Tapi sesudah itu Allah SWT mengingatkan Rasulullah bahawa umat itu telah meremehkan beliau. “Ya Allah, izinkan aku memberi syafa’at kepada mereka itu walaupun mereka hanya punya iman sebesar zarrah.”

Sesampainya Rasulullah s.a.w. di neraka Jahanam, padamlah api neraka yang begitu dahsyat itu. Penduduk Jahanam pun berucap, “Apa yang terjadi, mengapa api Jahanam ini tiba-tiba padam? Siapakah yang datang lagi?”

Rasulullah s.a.w. menjawab, “Aku Muhammad s.a.w. yang datang, siapa di antara kalian yang jadi umatku dan punya iman sebesar zarrah, aku datang untuk mengeluarkannya.”

Demikianlah kecintaan Rasulullah kepada umatnya, beliau akan memperjuangkannya sampai di hadapan Allah SWT. Lalu bagaimana kecintaan kita sebagai umat Rasulullah s.a.w. kepada peribadi yang begitu agung itu?

Sumber: Kisah dan Hikmah
Majlis Ta'lim Wad Dakwah
Ustaz Al Habib Sholeh bin Ahmad bin Salim Al Aydrus
Rujukan : Kitab Muhammad Insan Kamil karya Sayyid Muhammad Al-Maliki dan Kitab Asy Syifa karya Al Qadhi 'Iyadh

No comments:

Post a Comment